Blogger Backgrounds

Tuesday, 27 March 2012

KEM KEPIMPINAN LEMBAGA PENGAWAS 2012

LAPORAN KEM KEPIMPINAN PENGAWAS SMK SUNGAI PUSU 
DI KEM BINA SEMANGAT, AMPANG PECAH, HULU SELANGOR.

Hari Pertama (23/3/2012)

Lembaga pengawas SMK Sungai Pusu telah menganjurkan kem kepimpinan bagi para pengawas. Kem ini telah bertempat di Kem Bina Semangat, Ampang Pecah, Hulu Selangor. Seramai 78 orang pengawas serta 51 orang pengawas pelatih dan 10 orang guru pengiring telah menghadiri kem ini. Selama tiga hari dua malam iaitu dari hari Jumaat sehingga hari Ahad, peserta-peserta kem ini telah berkampung di sana bagi mencapai objektif program ini.


            Pengawas-pengawas SMK Sungai Pusu telah berkumpul di kantin sekolah pada jam 2.30 petang. Bas tiba di sekolah pada jam 3 petang. Perjalanan ke kem tersebut mengambil masa selama 1 jam lebih untuk tiba ke destinasi.

Pada hari pertama tiba di Kem Bina Semangat, semua pengawas disambut baik oleh pihak fasilitator yang mengendalikan program ini. Sejurus selepas semua pengawas meletakkan beg di dewan, pengawas dijamu pula dengan kuih-muih berserta air kopi untuk mengalas perut dan kemudian pengawas menunaikan solat Asar secara berjemaah. Kemudian, para pengawas diberi sedikit taklimat tentang kawasan dan keadaan kem ini. Setelah itu, para pengawas diminta untuk membawa beg dan bergerak ke dorm. Para pengawas juga telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan lagi perjalanan program ini. Selepas itu, para fasilitator mengenalkan diri mereka masing-masing dan kem komanden membahagikan fasilitator-fasilitator kepada setiap kumpulan.


Sejurus selepas itu, pengawas menunaikan solat Maghrib dan Isya’ berjemaah. Pada jam 9 malam, pengawas dikehendaki membentuk bulatan mengikut kumpulan dan mencipta sebuah nama, logo, motto, visi, misi dan sorakan kumpulan. Kemudian, pengawas dikehendaki bergerak ke dewan makan dan dihidangkan dengan air kopi sebagai hidangan minum malam. Pada jam 11 malam, semua pengawas diarah untuk berkumpul di dataran bagi taklimat aktiviti night walk. Namun, terdapat dua orang peserta yang tidak dapat melibatkan diri untuk aktiviti night walk atas masalah kesihatan. Pengawas dibenarkan pulang ke dorm masing-masing pada jam 2 pagi.


Hari Kedua (24/3/2012)

            Pada hari kedua, semua pengawas bersedia di dalam surau pada jam 5.45 pagi untuk menunaikan solat Subuh. Selepas itu, pengawas dikehendaki memakai pakaian sukan dan kasut untuk aktiviti senaman yang diketuai oleh ketua jurulatih. Selepas itu, pengawas disediakan nasi lemak dan air teh ‘o’ sebagai sarapan. Selepas bersarapan, pengawas dikehendaki berkumpul untuk aktiviti Jungle Trekking yang bertujuan melatih pengawas agar berani mengambil risiko di dalam dunia realiti seorang pengawas dan semangat setia kawan antara pengawas. Pada jam 2.00 petang para pengawas  menikmati juadah tengahari dengan begitu berselera sekali akibat kepenatan ketika meredah hutan. Pengawas dibenarkan pulang ke dorm untuk bersiap –siap menunaikan solat Zohor.


Semua pengawas dikehendaki berkumpul semula di dataran dan ketua jurulatih meminta para pengawas yang ingin menjadi wakil untuk menjadi leader bagi aktiviti obstacle. Selepas itu, wakil-wakil untuk menjadi leader diminta mengikut jurulatih (Abang Zack) untuk ke halangan-halangan obstacle. Pengawas yang selebihnya diminta menjalankan aktiviti bersama para fasilitator. Selepas pengawas yang menjadi leader diberi penerangan oleh jurulatih (Abang Zack), semua pengawas diminta bersedia untuk menempuh setiap halangan mengikut giliran. Tepat pada jam 4.30 petang, semua pengawas menikmati minum petang. Aktiviti ini lebih memberi kesan yang positif iaitu dari segi bekerjasama dan berganding bahu dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Pada jam 6 petang pengawas diminta membersihkan diri dan bersiap untuk menunaikan solat Asar dan solat Maghrib. Sesudah solat Maghrib, semua pengawas diminta untuk ke dewan makan untuk makan malam. Taklimat aktiviti yang seterusnya, telah diberitahu oleh Ketua Kem Komanden  (Abang Jin) sejurus selepas melakukan aktiviti. Kemudian, pengawas diberi taklimat mengenai disiplin dari segi spotcheck, kekemasan diri dan sebagainya. Taklimat disiplin ini disampaikan oleh Encik Nor Asmadi bin Hashim dan Encik Azhari bin Zainal. Jam 10 malam kami dihidangkan minum malam dengan air kopi.


Pada jam 10.30 malam, aktiviti untuk slot pengawas dijalankan oleh para fasilitator. Ketua Kem Komanden memanggil semua ahli jawatankuasa tertinggi badan pengawas untuk ke hadapan. Ahli jawatankuasa tertinggi badan pengawas ini diminta untuk pulang dan para fasilitator memarahi semua ahli jawatankuasa tertinggi pengawas kerana terdapat kesilapan yang dibuat oleh mereka. Kesemua pengawas menyokong mereka dan menghalang fasilitator membawa mereka pulang. Aktiviti ini telah mengajar pengawas erti kasih sayang sekaligus merapatkan ukhuwah antara semua pengawas. Selesai sahaja slot pengawas, pengawas terus pulang ke dorm masing-masing untuk merehatkan diri.

           
Hari Ketiga (25/3/2012)

Pada hari terakhir di sana, pengawas diarahkan bersiap untuk solat Subuh. Seusai solat Subuh, pengawas diarahkan untuk berkumpul bagi sesi senaman dan terus menjalankan aktiviti “Mind Fail”. Tujuan aktiviti ini dilakukan adalah untuk menguji kepekaan para pengawas dalam mendengar arahan. Kemudian, semua pengawas menikmati sarapan pagi iaitu mihun goreng.


Selepas itu, penolong ketua pengawas iaitu saudari Nurhani Khaisah binti Mohd Zahrin memberi tunjuk ajar satu permainan yang dinamakan “O Ae Po Ae Tai Tai Ae Ya” yang bertujuan untuk menguji ingatan dan kecekapan pengawas. Selesai sahaja aktiviti itu, pengawas mempersiapkan diri untuk majlis penutup Kem Kepimpinan Pengawas pada tahun ini. Tepat pada pukul 12.30, majlis penutup berjalan dengan penuh gilang-gemilang dan dijayakan oleh Pengetua SMK Sungai Pusu iaitu Encik Sajoli bin Masdor. Kemudian pengawas menikmati juadah tengahari di sini dan menunaikan solat Zohor sebelum pulang ke  SMK Sungai Pusu. Semua pengawas tiba di sekolah pada jam 4 petang dan dibenarkan bersurai.